Khamis, 6 Julai 2017

X Labs: Huawei tubuh jawatankuasa penasihat

KUALA LUMPUR 4 Julai – Huawei Technologies Co. Ltd. (Huawei) menubuhkan Jawatankuasa Pe­na­sihat Makmal X Labs bagi mengumpulkan pemimpin daripada pengeluar pintar, pembuat kenderaan, teknologi pesawat tanpa pemandu (drone), perisikan data, dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menyumbang idea kepada kemajuan teknologi masa hadapan.

Pengarah Eksekutif & Ke­tua Pegawai Strategi Pemasaran Huawei, William Xu yang mengumumkan penubuhan jawatankuasa tersebut berkata, Pengasas Caribou Digital, Chris Locke telah dilantik sebagai Setiausaha Agung dalam jawatankuasa ber­kenaan.

Beliau berkata, jawatankuasa yang dibentuk akan menjalankan perbincangan berkaitan kerjasama strategik bagi membangunkan beberapa ciri teknologi baharu terutamanya yang melibatkan rangkaian dan produk 5G, bagaimanapun fungsi dan peranan jawatankuasa tersebut tidak terhad kepada 5G.

“Makmal Tanpa Wayar X Labs merupakan platform terbuka bagi mengumpulkan pengendali, penyedia teknologi dan rakan industri untuk bersama-sama meneroka penggunaan masa depan untuk aplikasi mudah alih, memacu inovasi perniagaan dan teknologi serta mempromosikan ekosistem industri terbuka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di MWCS 2017 di sini baru-baru ini.

Katanya, empat bidang penyelidikan utama X Labs termasuklah keterhubungan drone; robotik tanpa wayar; realiti maya awan (cloud VR) dan augmented reality (AR) dan keterhubungan kende­raan.

Beliau berkata, Huawei turut bekerjasama dengan beberapa organisasi dan universiti tempatan dan antarabangsa bagi tiga peringkat iaitu industri, penyelidikan dan pembangunan aplikasi.

“Antara syarikat yang telah bekerjasama dengan Huawei termasuklah China Mobile, Vodafone, Audi dan Phillips,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan